Isteriku Geng Usrah (Siri 3)

Liku

Setiap kehidupan insan akan dilalui dengan penuh berliku. Begitulah juga kehidupan aku. Padaku liku-liku kehidupan itu hanyalah permainan dunia yang sementara dan ianya menjadi lumrah kehidupan. Aku rasa aku mampu untuk melalui liku-liku kehidupan yang kata orang perkara biasa sebagai manusia. 

Tetapi kini aku rasa tidak mampu untuk menghadapi dugaan seperti ini. Aku diuji dengan dugaan hati dan perasaan. Sebagai seorang pelajar bidang kejuruteraan, aku dikelilingi dengan ramai kawan yang hidupnya bebas. Maklumlah universiti di tengah bandaraya. Meskipun pelajar wanita di fakulti aku hanyalah 30 peratus berbanding pelajar lelaki, namun kemahiran memikat seorang wanita itu lebih menakjubkan apabila sasaran mereka itu tepat. Wanita dengan kemahirannya manakala lelaki dengan kelemahannya.

Aku melihat sendiri perubahan hidup sahabatku saat hati diketuk seorang wanita cantik. Kemana sahaja pasti bersama. Tiada siapa mampu menegur pastinya menyinga. Sampai suatu ketika aku bersama-sama mereka di dalam kumpulan perbincangan sebuah subjek. Aku melihat wanita itu menggeletis sepertinya melihat artis Korea apabila ternampak aku dan beberapa orang kawanku yang lain. Aku merasakan kemungkinan juga kami ini lebih tampan daripada teman lelakinya itu. Ya aku akui antara kami ada jejaka yang boleh dikatakan tampan.Cuma aku hairan akan sikap wanita di bandaraya ini, meskipun bertudung tetapi sikapnya tergedik melentok liuk seperti pohon nyiur itu membuatkan aku sebagai lelaki bertambah-tambah malu. Betul tudung tak boleh dipersalahkan juga. Bagi aku, apabila syarat menutup aurat tidak dipatuhi, maka tidak hairanlah jika sikap mereka seperti itu.

Sedang kami berbincang, wanita tadi memberikan nota-notaku yang dipinjamkannya dan aku menyedari terselit di situ sepucuk surat. Aku mengabaikannya dan meneruskan perbincangan supaya dapat dihabiskan tepat pada waktunya. Oleh kerana dia hanyalah satu-satunya wanita di dalam kumpulan kami, dia ditempatkan jauh dihujung meja bagaikan ketua besar disebelah teman lelakinya itu dan kami berada bertentangan dengannya jauh nun agar tidak menampakkan percampuran.

Aku sebenarnya sedih kerana aku tidak mampu untuk menegur mereka. Aku berasa sangat bertanggungjawab, namun pada saat itu, aku tidak kuat untuk mengatakan sesuatu kepada mereka. Aku hanya mampu menegur dengan hati yang sangat membenci perbuatan mereka itu. Setelah pulang aku membuka surat yang diberikan alangkah terkejutnya aku melihat ayat wanita tersebut, "Bimbinglah saya ke syurga bersama." -Joyah,012346****. Hati lelaki mana yang tidak berasa kasihan melihat ayat itu? Aku tahu itu sebenarnya ujian buatku. Kemungkinan juga perwatakanku yang tidak suka berbual dengan wanita, membuatkan dia mengambil kesempatan daripadaku melalui ayat sebegitu. Puas aku berfikir cara yang terbaik untuk aku dan dia. Pada suatu petang aku bertemu dengan seorang pensyarahku yang menjadi penasihat persatuan wanita islam di universitiku dan menceritakan keadaanku. Aku memberikan surat tersebut dan membiarkan beliau menyelesaikan masalah itu. Aku membiarkan kisah wanita itu berlalu pergi sehingga kini aku tidak tahu apa yang terjadi. Semoga dia diberikan hidayah Allah.

Sesekali aku juga dihujani dengan gosip-gosip panas yang sangat tidak disenangi. Pada suatu hari, aku mendapat berita bahawa terdapat seorang wanita yang kononnya menyukai aku dan berita itu tersebar hampir ke semua insan yang mengenaliku. Sungguh aku terkedu dan lantas aku menafikan semua itu supaya hal itu tidak berlanjutan. Meskipun kadang aku tetap diusik oleh teman-teman rapat. Aku tidak tahu dari mana datangnya berita itu dan aku pasti dia juga tidak tahu. Setiap apa yang dilihat tidak seperti yang disangka. Seringkali orang suka melihat keserasian seseorang itu dan terus membuat kesimpulan terhadap apa yang dilihat dengan mata kasar. Benar pokok tidak akan bergoyang jika tidak ada angin tetapi ada juga yang suka menggoncang pokok supaya bergoyang. Begitu jugalah hal ini. Saya mengabaikan semua itu dan berharap berita itu sejuk dengan sendirinya.

Aku sedar bahawa ujian itu akan hadir saat kita sedang berusaha untuk berubah dan menjadi insan yang terbaik. Sesunggguhnya itulah cabaran pemuda pemudi sejak dahulu kala. Cinta membutakan mata insan. Cinta juga penawarnya. Namun bagaimanakah kita mencorakkan ujian cinta menjadi sebuah yang membahagiakan kehidupan masa depan?

Bersambung...



Siri 4

Kawan-kawan mesti nak tahukan bagaimana aku boleh berkenalan dengan isteri? Bukan mudah orang yang mempunyai prinsip hidup untuk memilih insan yang akan menjadi teman sehidup sematinya.
Tak perlu bermain teka teki kerana tebakan korang tu salah.
Nantikan siri yang keempat.
Nak tahu apa kesinambungan kisah Aku,isteriku dan geng usrah?

Ketik LIKE dan SHARE



KISAH INI TIADA KAITAN DENGAN PENULIS, SESIAPA YANG MASIH HIDUP ATAU SUDAH MENINGGAL DUNIA. KISAH INI HANYA REKAAN SEMATA-MATA. SEMOGA MENDAPAT IBRAH DARIPADA GARAPAN INI.

Ummu Mariah
2.00PM
25/7/2018



Comments

Popular posts from this blog

Mini Birthday Giveaway by MiminAdam

(Review) Raudhah,Aku Mencintaimu Kerana Allah

[Join] GIVEAWAY : MUDAHNYA NAK MENANG HELLO KITTY DI SHEHANZSTUDIO.COM