Mas Kahwin & Hantaran Murah atau Mahal?
Alhamdulillah hari ini saya rasa tertarik untuk membincangkan tentang tajuk ini.
Mesti ramai tertanya-tanya mengapakah? Eh...nak kahwin dah ke? Soal saya nak kahwin dah atau belum lagi tolak tepi dulu. Ada rezeki, InsyaAllah saya jemput.
Berbalik kepada tajuk kita. Sejak akhir-akhir ini,banyak sangat status yang telah dikongsikan tentang mengapa mas kahwin mahal?hantaran mahal.Tak boleh ke bagi murah-murah je?Islam itu mudah,mengapa kita menyusahkan perkahwinan?
Pelbagai soalan timbul akibat mentafsir hadis dan ayat Al-Quran berdasarkan maksud zahirnya tanpa memikirkan makna yang tersirat dan syariat Islam yang sebenarnya. Saya tak cakap apa yang dikatakan itu salah cuma saya mahu anak muda kini lebih cakna dan teliti sedikit tentang soal ini.
Saya sendiri juga terfikir benda yang sama seperti anak muda di luar sana kerana saya juga seperti kalian. Tetapi pengalaman banyak mengajar saya supaya lebih teliti. Jadi saat saya memikirkan hal ini Allah takdirkan sahabat saya juga membuka tajuk yang sama untuk berbual.
Katanya, "Sebab apa mak ayah seseorang wanita itu meletakkan mas kahwin dan hantaran "mahal" untuk seorang lelaki yang ingin memperisterikan anaknya?"
Perkara pertama yang perlu kita ingat, mas kahwin dan hantaran itu berbeza. Mas kahwin ialah tuntutan agama dan hantaran pula adat orang kita. Kali ini saya mahu memfokuskan jika pihak bakal pengantin perempuan meminta sedikit hantaran. Jika mereka tidak meminta atau menetapkannya, Alhamdulillah. Sekarang, saya mahu membincangkan situasi bagi mereka yang berhadapan dengan kebanyakannya meminta hantaran. (kalau saya, tak nak pun, kalau bagi pun berkongsilah kan. hehe)
Dia menjawab menurut pendapatnya, mak ayah kita bukan sengaja meletakkan harga mas kahwin tu saja-saja banyak tu. Kadang dia cuma nak tengok sejauh mana kesungguhan seorang lelaki tu untuk menjaga anak perempuannya yang ditatang bagai minyak yang penuh. Mereka tak mahu nanti anak-anak mereka dipersiakan oleh seorang lelaki akibat mudah sangat untuk memiliki.
Persoalnya lagi, mengapa orang dulu-dulu jarang ada kes cerai berbanding zaman kita sekarang?
Jawabnya, orang dulu-dulu walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi tetapi ilmu rumahtangga dan ilmu daripada pengalaman itu sering diterapkan di dalam kehidupan mereka. Mereka hidup di alam realiti. Bezanya kita zaman sekarang disogok dengan cerita cinta yang penuh igauan mimpi. Orang zaman dulu memang nampak macam senang je nak kahwin. Realitinya tidak, jika mereka mulai bercadang untuk bernikah atau mengahwini seseorang wanita, mereka bersungguh-sungguh mencari wang dan bekerja sedaya mungkin bagi memberikan kehidupan yang baik kepada bakal isteri mereka. Dan bakal isteri juga berusaha mempersiapkan diri mereka supaya dapat menanggung suami dan anak-anak sepertimana ibu bapa mereka menjaga mereka. Zaman dulu tak timbul soal tak pandai masak,paling koman pun dia pandai masak sejenis kuih dan lauk pauk yang mudah. Selebihnya mereka belajar sendiri.
Contoh mudah dan paling dekat dengan saya ialah ummi saya. Saya bersyukur sebab dapat ummi macam ummi. Tahu tak kenapa? Segala ilmu petua dapur orang dulu-dulu ada pada ummi. Alhamdulillah sedikit demi sedikit ummi memperturunkan ilmu tersebut kepada kami adik beradik,tak kira anak lelaki atau perempuan. Saya sendiri takut jika saya tak mampu mengekalkan adab dan budaya orang tua dulu-dulu. Petua mereka membuatkan masakan kita tip top. Tak perlu MSG atau ajinomoto,tak perlu juga kiub pati apa-apa. Ummi menyampaikan ilmu-ilmu tersebut dan mengadaptasinya bagi zaman sekarang. Mudah kata,ummi bagi jalan paling mudah untuk menarik minat anak muda masuk dapur dan masak masakan istimewa sendirian berhad. Bila ada rewang ke apa-apa kenduri pakat, bila mereka tengok cara ummi siang apa-apa tak perlukan papan pemotong, pasti ada yang cakap,kalau nak cari menantu carilah yang pandai buat kerja dapur tanpa papan pemotong. Alhamdulillah anak-anak ummi masih belajar untuk expert macam ummi.Apapun kami tetap anak zaman sekarang yang cuma memurnikan petua-petua orang dulu-dulu.
Syukur sangat ada ummi macam ummi. Seronok bila dengar kisah ummi muda-muda dulu. Menjahit belajar sendiri,masak pun mereka sendiri.Kita zaman la???
Nampakkan betapa bersungguhnya orang dulu-dulu untuk memiliki sesuatu.
TETAPI kita zaman sekarang bagaimana? Nak kahwin mak ayah sponsor. Mas kahwin dan hantaran pun mak ayah yang tanggung. Tak pandai masak pun mak ayah bagi kahwin. Tak ada kerja pun mak ayah benarkan kahwin juga. Nak kahwin muda atau nak kahwin zaman sekarang sangat mudah dan ada juga memudah-mudahkan perkahwinan sehinggakan bercerai hanya disebabkan segelas air minuman. Bertengkar sedikit,tiada komunikasi atau cemburu saat perkahwinan masih muda dan hangat menatijahkan perceraian.
Kenapa semua ini terjadi?
Pada pendapat saya, salah satunya ialah tidak merasai kesusahan untuk mendapat sesuatu dan menghargai sesuatu yang dimiliki. Contohnya macam kitalah, masa belajar dulu, orang bagi program tiada yuran, makanan minuman percuma 6 kali sehari, dapat cenderamata dan sijil lagi. Tak kira lagi kalau ada pertandingan bagi hadiah setiap kali menang. Kita ikut suka hati sahaja nak hadiri full day atau half day. Kadang-kadang kita cilok juga. Datang lambat pula. Kalau tak kena denda atau tak kena tegur,kita tetap buat sebab kita rasa orang tak kisah apa yang kita buat. Kita rasa betul sangat dah. Berbeza apabila kita kena hadir program, disediakan segalanya berdasarkan jumlah yang kita bayar. Berbayar tu....Semua yang disediakan atas duit kita. Pasti kita cakap,mana boleh main-main kita bayar mahal-mahal. Tau tak semua tu kita bayar,jadi kita kena makan puas-puas. Bila apa yang disediakan dengan bayaran kita tidak setimpal kita pasti komen mengomen.
Haaaaaaa....macam itu jugalah sebenarnya kehidupan kita. Allah bagi nikmat kesihatan percuma,kita abaikan, pemakanan tak jaga, bila kita sakit baru kita tahu menghargainya. Sebenarnya itulah SIFAT MANUSIA. Hanya menghargai selepas kehilangannya.
Kawan saya cakap, kadang-kadang mak ayah tetapkan sekian-sekian harga mas kahwin dan hantaran seolah mahal. Namun ketahuilah mereka meletakkannya dalam lingkungan kemampuan pihak lelaki. Duit itu pun bukan untuk keluarga pihak perempuan, duit yang ditetapkan itu untuk bakal isteri kita juga. Duit hantaran tu kadang tidak digunakan pun untuk majlis tetapi ianya disimpan untuk keluarga anak menantunya. Begitulah caranya ibu bapa mengatur kewangan keluarga anak menantunya. Kita cakap dalam konteks positiflah. Masalah-masalah lain seperti sengaja letak tinggi, nak tunjuk-tunjuk pada jiran dan sebagainya kita letak tepi dulu. Minoriti je begitu.
Kesimpulannya, persoalan mas kahwin & hantaran murah atau mahal tak menjadi persoalan tetapi yang menjadi persoalan utama di sini ialah sejauh mana kita berusaha untuk membahagiakan suami dan isteri. Sejauh mana kita menghargai apa yang kita miliki yang pastinya ada baik ada buruknya. Bagaimana kita bersedia untuk menempuhi alam baru yang penuh dugaan dan cabaran itu.
Sesungguhnya dua hati itu akan terpatri selamanya saat Redha Allah dan ibu bapa bersama memayungi mereka.
Subhanallah.
Sekian.
Perkongsian pendapat peribadi.
Comments
Post a Comment